Konsert Malam Penutup Minggu Kesenian dan Kebudayaan mendapat sambutan

12/03/2011 01:46

Oleh: Azifah Awang

NILAI: Konsert Malam Penutup Minggu Kesenian dan Kebudayaan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) yang bertempat di Dewan Kuliah Utama (DKU), FPQS pada 12 Mac 2011 mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan pelajar dan pensyarah fakulti.

Konsert ini turut menjemput Prof. Dato’ Dr. Muhammad Muda, Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah, Timbalan Naib Canselor USIM, dekan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), timbalan dekan dan pensyarah-pensyarah fakulti bagi memeriahkan suasana.

Menurut pengarah program, Ahmad Naeim bin Mohd@Mat Isa, FPQS, tahun 3, beliau berasa sangat gembira kerana walaupun konsert ini dikenakan bayaran sebanyak RM1 untuk setiap penonton, tetapi ianya tetap mendapat sambutan yang memberangsangkan dari pelajar.

“Tujuan program ini diadakan adalah bagi mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara pelajar FPQS dengan pihak atasan dan pentadbiran dan di antara pensyarah dan pelajar. Program ini juga diadakan adalah bagi membuktikan bahawa FPQS tidak menolak kesenian dan kebudayaan di universiti, malah, mereka menyokong elemen ini selaras dengan kehendak Islam,” tambahnya lagi.

Konsert Malam Penutup Minggu Kesenian dan Kebudayaan yang bermula pada jam 8 malam dan berakhir pada jam 12 malam itu turut mengadakan majlis penyampaian hadiah kepada setiap pemenang pertandingan nasyid, hafazan dan tilawah al-Quran bagi kedua-dua kategori lelaki dan perempuan yang telah berlangsung sebelum konsert ini diadakan tanpa mengumumkan keputusan pertandingan terdahulu.

Majlis ini juga turut menampilkan dua kumpulan nasyid tanah air, Mestica dan Al-Fikrah bagi menghiburkan penonton yang datang.