Pelaksanaan jam kredit perlu dipertimbangkan

21/03/2011 13:46

 Oleh: Noraishah Adnan

USIM –Pelaksanaan jam kredit yang banyak merupakan isu yang sering kali diperkatakan oleh segelintir mahasiswa USIM  khususnya melibatkan pelajar FPBU, FEM dan FSU akhir – akhir ini. Masalah ini masih lagi berterusan dan belum menemui jalan penyelesaiannya.

Menurut Zulkifli Md. Isa, pensyarah Fakulti Pengajian Bahasa Utama berkata, “mungkin pelajar agak terbeban dengan masalah ini dan menyebabkan mereka kurang fokus dalam pembelajaran. Namun, pelajar sendiri tidak boleh menganggapnya suatu bebanan kerana kebanyakan pelajar yang mengambil jam kredit yang banyak adalah mereka yang mengikuti double major.

Tambah beliau lagi, disebabkan itu pelajar terpaksa mengambil banyak subjek berikutan kedua-dua bidang dalam satu kos dianggap penting dalam sukatan pelajaran mereka selaras dengan peringkat pengajian Ijazah Sarjana Muda.

Beliau turut berkata, “jika benar jam kredit banyak telah membebankan pelajar, maka pihak universiti dan fakulti perlu membuat kajian semula dan sama-sama berbincang tentang masalah ini”.  

Selain itu, masalah ini menyebabkan para pelajar kurang bergiat aktif dalam program yang dianjurkan oleh USIM dan juga tidak berkesempatan untuk mengikuti aktiviti kokurikulum.

            Menurut Noor Syazwani Azman pelajar tahun tiga, FPBU berkata “kadang-kadang masalah ini juga membebankan pelajar kerana, jika jam kredit terlalu banyak maka tugasan juga akan bertambah sehingga menyebabkan pelajar tidak sempat mengikuti program lain”.